assalamualaikum. Rasanya dah lama tak update blog ni. jadi aku rasa untuk kali ini aku nak kongsikan sedikit tentang sedekah.
Dewasa ini amalan bersedekah dan bantu-membantu sudah tidak asing lagi dalam kalangan penduduk berbilang kaum serta budaya di negara ini. Sikap ini terus berkembang merentasi sempadan dunia hingga sampai ke negara memerlukan bantuan. Hal ini kerana semua fahaman agama yang berbeza mempunyai prinsip amalan nilai murni yang sama. Agama Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh, malah ajaran fahaman Confucius dan Taoist juga mengajar penganutnya agar sentiasa menjaga kebajikan masyarakat sekeliling dengan cara berkasih sayang dan saling membantu.
Rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam pasti lebih peka terhadap kesulitan dan kesusahan dihadapi saudara seagama di seluruh dunia. Apatah lagi apabila diuar-uarkan kisah penderitaan ditanggung saudara seagama sejak lebih 60 tahun lalu, tidak lain tidak bukan, rakyat di bumi Palestin.
Kenapa sedekah dan bantu-membantu itu sering beriringan? Ini kerana ia adalah dua sikap yang lebih kurang sama. Kita membantu orang yang berada dalam kesusahan, ia juga dikira sedekah. Malahan, senyuman manis dan perkataan baik yang mendamaikan hati dan telinga orang yang mendengar pun adalah sedekah.
Hadis Rasulullah SAW, daripada Abu Hurairah berkata: “Rasulullah SAW bersabda setiap anggota badan manusia bersedekah setiap hari selama matahari masih terbit. Kamu mendamaikan antara dua orang (yang berselisih) adalah sedekah, kamu menolong seseorang naik ke atas kenderaannya atau mengangkat barangnya ke atas kenderaannya adalah sedekah, berkata yang baik itu adalah sedekah, setiap langkah berjalan untuk solat adalah sedekah, dan menyingkirkan suatu halangan dari jalan adalah sedekah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Pepatah arab juga ada mengatakan tangan diatas lebih baik daripada tangan yang dibawah. Jadi kesimpulannya kita hendaklah mempunyai sifat ingin bersedekah kepada yang memerlukan agar daapt meringankan beban mereka. :)
No comments:
Post a Comment